AZAB SEMASA KOMA..
Bismillahirahmannirahim..
Assalamualaikum w.b.t pada semua
yang dirahmati ALLAH sekalian… pada kali ini insyaallah ana ingin menceritakan
kisah pengalaman hamba ALLAH yang
bernama MAZLAN yang sedikit sebanyak insyaallah membawa manfaat kepada kita
semua terutamanya pada kaum hawa seperti ana sendiri…sama-sama kita renungkan
kisah yang menyayat hati ini..
Selama hampir sembilan tahun menetap di Mekah dan membantu ayah saya
menguruskan jemaah haji dan umrah, saya telah melalui pelbagai pengalaman
menarik dan pelik. Bagaimanapun, dalam banyak-banyak peristiwa itu, ada satu
kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di pertengahan 30-an.Kejadian
itu berlaku pada pertengahan 1980-an semasa saya menguruskan satu rombongan
haji. Ketika itu umur saya 20 tahun dan masih menuntut di Universiti Al-Azhar,
Kaherah. Kebetulan ketika itu saya balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan
cuti semester.
Saya menetap di Mekah mulai 1981 selepas menamatkan pengajian di Sekolah Agama
Gunung Semanggol, Perak. Keluarga saya memang semuanya di Mekah, cuma saya
seorang saja tinggal dengan nenek saya di Perak. Walaupun masih muda, saya
ditugaskan oleh bapa saya, Haji Nasron untuk menguruskan jemaah haji dan umrah
memandangkan saya adalah anak sulung dalam keluarga..
Berbalik kepada cerita tadi, ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji di
Lapangan Terbang Jeddah kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya nampak riang
sebab itulah kali pertama mereka mengerjakan haji.
Sebaik sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke
Madinah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai di
Madinah. Tiba di Madinah, semua orang turun dari bas berkenaan. Turunlah mereka
seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita terbabit..
Tapi tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya mencecahkan bumi Madinah,
tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri. Sebagai orang yang
dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke arah
wanita berkenaan. "Kakak ni sakit," kata saya pada jemaah-jemaah yang
lain. Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua
jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku.
"Badan dia panas dan menggigil. Kakak ni tak sedarkan diri, cepat tolong
saya…kita bawa dia ke hospital," kata saya. Tanpa membuang masa, kami
mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke hospital Madinah yang terletak
tidak jauh dari situ. Sementara itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat
penginapan masing-masing.
Sampai di hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri.
Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya
gagal. Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma. Sementara itu, tugas
mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan wanita
tersebut terlantar di hospital berkenaan. Namun dalam kesibukan menguruskan
jemaah, saya menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita
tersebut.
Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri. Selepas dua hari,
wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu
adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu.
Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu dihantar
ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa
itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding hospital madinah.
Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil.
Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan
ibadat haji. Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya, bila
sampai di Hospital King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita
tersebut masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat
keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.
Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari sudut
matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya. Tapi sebaik saja
terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya dengan erat sambil
menangis teresak- esak. Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni bukan
muhrimnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis??
Saya bertanya kepada wanita tersebut, "Kenapa kakak menangis?"
"Mazlan… kakak taubat dah Lan. Kakak menyesal, kakak takkan buat lagi
benda-benda yang tak baik. Kakak bertaubat, betul-betul taubat."
"Kenapa pulak ni kak tiba-tiba saja nak bertaubat?" tanya saya masih
terpinga-pinga. Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab
pertanyaan saya itu. Seketika kemudian dia bersuara, menceritakan kepada saya
mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar
oleh kita semua. Katanya, "Mazlan, kakak ni sudah berumah tangga, kahwin dengan
lelaki orang putih. Tapi kakak silap. Kakak ini cuma Islam pada nama dan
keturunan saja. Ibadat satu apa pun kakak tak buat. Kakak tak sembahyang, tak
puasa, semua amalan ibadat kakak dan suami kakak tak buat.
Rumah kakak penuh dengan botol arak. Suami kakak tu kakak sepak terajang, kakak
pukul-pukul saja," katanya tersedu-sedan.
"Habis yang kakak pergi haji ini?"
"Yalah…kakak tengok orang lain pergi haji, kakak pun teringin juga nak
pergi."
"Jadi apa sebab yang kakak menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke
yang kakak alami semasa sakit?" tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan, "Mazlan…Allah itu
Maha Besar, MahaAgung, Maha Kaya. Semasa koma tu, kakak telah diazab dengan
seksaan yang benar-benar pedih atas segala kesilapan yang telah kakak buat
selama ini.
"Betul ke kak?" tanya saya, terkejut.
"Betul Mazlan. Semasa koma itu kakak telah ditunjukkan oleh Allah tentang
balasan yang Allah beri kepada kakak. Balasan azab Lan, bukan balasan syurga.
Kakak rasa seperti diazab di neraka. Kakak ni seumur hidup tak pernah pakai
tudung. Sebagai balasan, rambut kakak ditarik dengan bara api. Sakitnya tak
boleh nak kakak ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit kakak minta ampun
minta maaf kepada Allah."

"Bukan itu saja, buah dada kakak pula diikat dan disepit dengan penyepit
yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini… putus, jatuh ke
dalam api neraka. Buah dada kakak rentung terbakar, panasnya bukan main. Kakak
menjerit, menangis kesakitan.. Kakak masukkan tangan ke dalam api itu dan kakak
ambil buah dada tu balik." tanpa mempedulikan pesakit lain dan jururawat
memerhatikannya wanita itu terus bercerita.
Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari. Dia tidak
diberi peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada hukuman
sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih.
Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak bercucuran,
wanita itu meneruskan ceritanya, "Hari-hari kakak diseksa. Bila rambut
kakak ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit
kepala.. Panasnya pula menyebabkan otak kakak terasa seperti menggelegak. Azab
itu cukup pedih…pedih yang amat sangat…tak boleh nak diceritakan. "sambil
bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia
betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu.
Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu sekali
balasan Allah kepada umatnya yang ingkar. "Mazlan…kakak ni nama saja
Islam, tapi kakak minum arak, kakak main judi dan segala macam dosa besar.
Kerana kakak suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa tidak
sedarkan diri itu kakak telah diberi makan buah-buahan yang berduri tajam. Tak
ada isi pada buah itu melainkan duri-duri saja. tapi kakak perlu makan
buah-buah itu sebab kakak betul-betul lapar. "Bila ditelan saja buah-buah
itu, duri-durinya menikam kerongkong kakak dan bila sampai ke perut, ia menikam
pula perut kakak.
Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula duri-duri
besar menyucuk kerongkong dan perut kita. Habis saja buah-buah itu kakak makan,
kakak diberi pula makan bara-bara api. Bila kakak masukkan saja bara api itu ke
dalam mulut, seluruh badan kakak rasa seperti terbakar hangus.
Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini tidak akan sama
dengan kepanasannya. Selepas habis bara api, kakak minta minuman, tapi…kakak
dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat dari nanah. Baunya cukup busuk.
Tapi kakak terpaksa minum sebab kakak sangat dahaga. Semua terpaksa kakak
lalui…azabnya tak pernah rasa, tak pernah kakak alami sepanjang kakak hidup di
dunia ini."
Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun.. Terasa sungguh kebesaran
Allah. "Masa diazab itu, kakak merayu mohon kepada Allah supaya berilah
kakak nyawa sekali lagi, berilah kakak peluang untuk hidup sekali lagi. Tak
berhenti-henti kakak memohon. Kakak kata kakak akan buktikan bahawa kakak tak
akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Kakak berjanji tak akan ingkar perintah Allah
akan jadi umat yg soleh. Kakak berjanji kalau kakak dihidupkan semula, kakak
akan tampung segala kekurangan dan kesilapan kakak dahulu, kakak akan
mengaji,akan sembahyang, akan puasa yang selama ini kakak tinggalkan.. "
Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung dan
Maha Berkuasa.. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada balasannya. Kalau
baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita terima, kalau buruk amalan
kita, maka azablah kita di akhirat kelak. Alhamdulillah, wanita itu telah
menyaksikan sendiri kebenaran Allah..
"Ini bukan mimpi Mazlan. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam tu
sekali. Kakak bertaubat Mazlan, kakak tak akan ulangi lagi kesilapan kakak
dahulu. Kakak bertaubat… kakak taubat nasuha," katanya sambil
menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke Mekah,
dia menjadi jemaah yang paling warak. Amal ibadahnya tak henti-henti.
Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan
balik ke biliknya semula selepas sembahyang subuh.
"Kakak…yang kakak sembahyang teruk-teruk ni kenapa. Kakak kena jaga juga
kesihatan diri kakak. Lepas sembahyang Isyak tu kakak baliklah, makan nasi ke,
berehat ke…" tegur saya.
"Tak apalah Mazlan. Kakak ada bawa buah kurma. Bolehlah kakak makan semasa
kakak lapar." menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil
Haram, dia mengqadakan semulasembahyang yang ditinggalkannya dahulu.
Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya
kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan
yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya menasihatkan supaya tidak
beribadat keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.
"Tak boleh Mazlan.. Kakak takut…kakak dah merasai pedihnya azab tuhan.
Mazlan tak rasa, Mazlan tak tau. Kalau Mazlan dah merasai azab itu, Mazlan juga
akan jadi macam kakak. Kakak betul- betul bertaubat."
wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya, "Mazlan, kalau ada
perempuan Islam yang tak pakai tudung, Mazlan ingatkanlah pada mereka, pakailah
tudung. Cukuplah kakak seorang saja yang merasai seksaan itu, kakak tak mau
wanita lain pula jadi macam kakak. Semasa diazab, kakak tengok undang-undang
yang Allah beri ialah setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja
diperlihatkan kepada orang lelaki yang bukan muhrimnya, maka dia diberikan satu
dosa. Kalau 10 orang lelaki bukan muhrim tengok sehelai rambut kakak ini,
bermakna kakak mendapat 10 dosa."
"Tapi Mazlan, rambut kakak ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau
seorang tengok rambut kakak, ini bermakna beribu-ribu dosa yang kakak dapat.
Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau
hari-hari kita tak pakai tudung macam kakak ni??? Allah…"
"Kakak ber azam , balik saja dari haji ini, kakak akan minta tolong dari
ustaz supaya ajar suami akak sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat. Kakak nak
ajak suami pergi haji. Seperti mana kakak, suami kakak tu Islam pada nama saja.
Tapi itu semua kesilapan kakak. Kakak sudah bawa dia masuk Islam, tapi kakak
tak bimbing dia. Bukan itu saja, kakak pula yang jadi seperti orang bukan
Islam."
Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita
tersebut. Bagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita yang benar-benar
solehah. Adakah dia berbohong kepada saya tentang ceritanya diazab semasa koma?
Tidak. Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah
dan bertaubat nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang
digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadis. Adakah ia bercanggah?
Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat membuktikannya secara
saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala,syurga dan neraka itu perkara
ghaib? Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah diazab
barulah kita mahu percaya bahawa "Oh… memang betul apa yang Allah dan
Rasul katakan. Aku menyesal…. . " itu dah terlambat.